Ramai warith yang bercadang untuk menghantar anak kesayangan mereka yang bijak menyambung pelajaran bahagian Kemahiran al-Quran berkonsepkan Pengajian Ma’hadul-Azhar ingin mendapat penjelasan lebih jelas mengenai peraturan dan cara-cara kemasukan dan pendaftarannya. Maka di bawah ini disiarkan peraturan-peraturan ringkas Ma’hadul-Azhar.
Penjelasan Ringkas Mengenai
MA’HADUL-AZHAR
Untuk Pelajar Baru
Sesi 2011
( program sepenuh masa )
Ma’hadul-Azhar
Lokasi Pertemuan‘Paduan Kasih ‘
Demi Kecemerlangan Permata Hati Ummah
Ma’hadul-Azhar adalah lokasi pertemuan Paduan Kasih para pendokong dan peminat kebajikan yang terlaksana dari konsep وتعاونوا على البر والـتقـوى (bertolonganlah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan) . Ibu bapa prihatin rela membenarkan anak-anak pintar mereka belajar mengikut rangka sukatan pelajaran berteraskan Quran tanpa menoleh lagi kepada sistem pendidikan popular masa kini. Anak berketerampilan ini pula dengan sabar mengabdikan hidup mereka seharian demi menimba khazanah dari Al-Quran dan As-Sunnah. Guru-guru dan pembimbingnya bertungkus-lumus dan berhempas pulas berikhtiar memberi didikan unggul kepada permata hati ummah ini. Para dermawan pula dengan ikhlas hati dan penuh sabar menghulurkan sumbangan yang mereka juga amat memerlukannya kepada pihak Ma’hadul-Azhar demi ingin melihat kemunculan Generasi Qurainiy beraksi gagah di Bumi Malaysia tercinta. Dengan ini maka terjelmalah Paduan Kasih antara kita . Paduan Kasih yang akan melakarkan kemunculan putera puteri yang teradun pemikiran mereka dengan Adunan Ilahi Qurani yang dikenali dalam al-Quran sebagai صِبْـغَــة ُ الله
Ma’had-Azhar memanglah sekolah berkebajikan yang ingin meraih keampunan Allah selain ingin menyediakan asas yang kukuh kepada para pelajar bakal-bakal pemimpin ummah dimasa akan datang. Hala tuju kebajikannya adalah jelas. Ma’hadul-Azhar bukanlah tempat untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada yang ingin bekerja sambil lewa, bukan juga tempat untuk para pelajar bermasalah yang ingin dibentuk semula keperibadiannya, juga bukan lokasi untuk ibu bapa melepaskan tanggung jawab pembiayaan pengajian anak-anak mereka kepada pihak lain .
Ma’hadul-Azhar bergandingan dengan semua pihak prihatin berusaha semampu mungkin membekalkan pelajarnya dengan kefahaman keseluruhan Al-Quran dan menghafaznya berdasarkan topik, surah dan juzuk pilihan sebagai tonggak utamanya selain beberapa kemahiran lain.
Ma’hadul-Azhar Sekolah Kampungan Serba Kekurangan
Perlu disebut di sini bahawa Ma’hadul-Azhar adalah sekolah kampungan yang kerdil dan serba kekurangan, hanya mengharapkan pertolongan Allah melalui denyutan hati simpati para dermawan.
Ma’hadul-Azhar amat yakin bahawa jiwa para warith pelajar sama seperti jiwa dan sikap rakan-rakan mereka di India dan di Afrika Selatan. Kebanyakan para warith pelajar dari kedua-dua negara tersebut akan memilih untuk membayar yuran pengajian penuh walau pun terbentang di hadapan mereka peluang pengajian percuma.
Sekolah Al Zaiton di Indonesia pula, sebagai contoh, para pelajarnya membayar sekali gus RM15,000.00 ( Lima Belas Ribu Ringgit ) semasa mendaftar masuk.
Mereka faham bahawa tanpa wang mencukupi untuk pengurusan sekolah implikasinya akan menimpa anak-anak mereka sendiri. Mengurus kecemerlangan sebenarnya memerlukan dana yang besar, dan meletakan bebanan mencari dana pembiayaan kepada pihak sekolah adalah suatu yang kurang tepat. Indahnya kalau warith pelajar mengeluarkan pembiayaan dan sekolah berusaha menguruskan kecemerlangan untuk anak-anak mereka.
Ma’hadul-Azhar bukanlah badan kebajikan yang meyediakan dana bantuan kewangan. Ma’hadul-Azhar adalah pusat pengajian yang cuba mengemukakan suatu keberlainan dalam arus pendidikan yang bersimpang siur. Ma’hadul-Azhar mempelopori Pendidikan Terus Kepada Kefahaman Keseluruhan al-Quran. Pengajian ini tidak diiktiraf oleh mana-mana pihak berwajib. Ertinya, lepasan Ma’hadul-Azhar tiada jaminan jawatan yang menanti. Perkara ini hendaklah sentiasa ada dalam minda dan pemikiran pelajar dan warith mereka sebelum membuat pendaftaran masuk ke Ma’hadul-Azhar.
Saranan Imam Sfafie Ikutan Ma’hadul-Azhar
Demi impian menjadi kenyataan, demi hasrat menjadi realiti, demi kemunculan anak muda pemangkin ummah, maka asas utama pendidikan seperti saranan Pemikir Agung Dunia Imam Shafie Rahimahullah cuba dipenuhi oleh Ma’hadul-Azhar. Asas-asas itu disimpulkannya dalam 6 perkara utama berikut :
1. Pelajar harus bijak dan berketrampilan
2. Pelajar mempunyai minat tinggi dalam bidang pengajian yang diceburi
3. Pelajar harus sabar menghadapi sebarang dugaan dan rintangan semasa belajar
4. Pelajar mesti mempunyai sumber pembiayaan yang mencukupi
5. Pelajar harus dibimbing oleh guru bijak lagi mursyid
6. Masa belajar pelajar mesti panjang
Memegang Amanah
Ma’hadul-Azhar sebagai pemegang amanah kepada para dermawan yang prihatin dan ikhlas di mana sahaja mereka berada, antaranya ada yang memasukan sumbangan mereka ke dalam Akaun Ma’hadul-Azhar tanpa menampakkan diri, rasa amat bertanggung jawab memastikan setiap sen yang didermakan mereka mendapat hasil kejayaan yang diidamkan. Kerana itu, Ma’hadul-Azhar mempunyai garis panduan akhlak ( disiplin ) yang amat tegas.
Sebarang masalah disiplin yang tercetus dikalangan pelajar maka mereka akan dirujuk semula kepada ibu bapa atau warith masing-masing untuk diselesaikan. Mereka akan dibenarkan menghadiri semula kelas pengajian setelah pihak sekolah berpuas hati dengan penyelesaian itu.
Medan Sesuai Untuk Pelajar Gigih
Sekolah ini amat sesuai untuk pelajar yang gigih dan bersemangat kental sahaja, dan tidak sesuai sama sekali untuk pelajar yang impikan keselesaan dan yang ingin belajar sambil lewa atau kerana paksaan. Pelajar yang sanggup berdikari dalam semua urusan seharian adalah dialu-alukan. Ma’hadul-Azhar tidak membezakan usia pelajar. Semuanya dilayan sama. Mereka akan berada dalam kelas pengajian yang sama. Peluang diberi kepada pelajar berusia kurang dari 13 tahun berdasarkan pengalaman Ma’hadul-Azhar yang lalu di mana ada dikalangan pelajar berusia semuda itu jauh lebih matang dan lebih mampu memahami pelajaran berbanding yang lebih berumur dari mereka. Kerana itulah peluang diberi kepada pelajar muda ini.
Program Pengajian Sepenuh Masa
Antara kemahiran utama program pengajian sepenuh masa adalah seperti berikut :
1. Menghafaz dan memahami al-Quran berdasarkan topik
2. Menghafaz dan memahami al-Quran berdasarkan surah pilihan yang ditetapkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia kepada pelajar-pelajar
sekolah menengah agama dan kelas aliran agama
3. Menghafaz dan memahami al-Quran berdasarkan surah pilihan Sijil Tinggi Agama Malaysia
4. Menghafaz dan memahami al-Quran berdasarkan juzuk pilihan Kulliyyah
Syari’ah Islamiyyah Universiti Azhar, Mesir
5. Menghafaz dan memahami keseluruhan juzuk 30
6. Memahami keseluruhan kandungan al-Quran
7. Menghafaz dan memahami 200 hadith pilihan
8. Memahami 1000 hadith pilihan ( menghafaz keseluruhannya amat digalakan)
9. Memahami ‘Ilmu Feqah berpandukan kitab Feqah Mazhab Syafie Al-Fiq Al- Manhaji
10. Mendalami ‘Ilmu Bahasa ‘Arab
Kemahiran Ko Kurikulum
Antara kemahiran ko kurikulum adalah seperti berikut :
1. Kemahiran Syarahan berbagai-bagai bahasa
2. Kemahiran membimbing kanak-kanak membaca Quran
3. Kemahiran Asas Bahasa Inggeris
4. Kemahiran Asas Bahasa Mandarin
5. Kemahiran Nasyid
6. Kemahiran Masakan dan Sajian Makanan
7. Kemahiran Pengurusan
8. Mengkaji sejarah tokoh-tokoh terkemuka dunia
9. Mengkaji sejarah tokoh-tokoh terkemuka Tanah Melayu & Malaysia
10. Mengenali gerakan Islam sedunia
Tempoh Pengajian
Pengajian ini memakan masa tiga tahun. Bermula dari Mei 2011 hingga Mei 2014.
Sepanjang mengikuti pengajian di sini pelajar tidak dibenarkan terlibat dengan apa-apa kegiatan pengajian yang memerlukan tumpuan yang boleh dianggap sebagai mengganggu pengajian di Ma’hadul-Azhar.
Syarat-Syarat Penerimaan Pelajar :
1. Tidak ada sebarang penyakit
3. Berakhlak mulia dan berketerampilan
4. Mampu mengurus diri sendiri
5. Mempunyai pembiayaan mencukupi
6. Sanggup patuh kepada semua peraturan sekolah
7. Sudah mahir membaca Quran
8. Lulus temuduga
Ketujuh-tujuh perkara di atas hendaklah disokong oleh warith pelajar dengan surat yang disahkan oleh imam masjid di tempat masing-masing. Syarat-syarat bil. 1-6 mesti berterusan sepanjang belajar di sekolah ini.
Tidak Mahir Membaca Al-Quran
Pelajar yang kurang mahir membaca al-Quran tetapi diterima masuk selepas membuat rayuan, perlu mengikuti kursus intensif kemahiran membaca Quran selama 100 jam pengajian dalam sebulan. Bayaran perkhidmatan yang perlu dijelaskan ialah RM500.00.
Cuti
Cuti persekolahan sebahagian besarnya adalah mengikut kalender cuti Kementerian Pelajaran Malaysia, sedikit pengubahsuaian akan dibuat jika perlu.
Permohonan cuti oleh pelajar dapat dipertimbangkan kelulusannya kerana kematian atau sakit tenat keluarga terdekat sahaja. Pihak sekolah mengharapkan agar tiada rayuan bercuti dibuat untuk perkara-perkara lain.
Masa Belajar
Hari Belajar : Isnin hingga Juma’at
Masa Belajar Utama : 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari
Masa Pengukuhan Hafalan & Kefahaman : 6.00 petang hingga 9.00 malam
(Pelajar yang tidak tinggal di asrama boleh laksanakan Pengukuhan Hafazan & Kefahaman di rumah masing-masing dengan seliaan warith )
Ponteng Kelas Pengajian
Ponteng dari menghadiri kelas pengajian adalah merupakan kesalahan besar. Gagal hadir 5 minit setelah jadual pengajian bermula dikira gagal hadir satu jam. Denda dikenakan RM2.50. Gagal hadir sehari penuh tanpa sebab yang dibenarkan oleh Mudir bererti gagal hadir 9 jam . Denda dikenakan RM2.50 X 9 jam = RM22.50 sehari
Denda-denda ini dikenakan atas dasar pelajar tidak melaksanakan tanggung jawab yang diamanahkan kepada mereka Mereka sebenarnya diupah untuk belajar, ertinya mereka makan gaji untuk melaksanakan suatu kerja yang ditetapkan. Kerja mereka adalah belajar. Bayaran upah mereka belajar RM2.50 sejam.( sama seperti upah pelayan restoran atau pekerja di stesen minyak . Bezanya, pekerja itu bekerja untuk kayakan tokeh tetapi pelajar bekerja untuk bijak dan hebatkan diri sendiri) Jumlah ini adalah berdasarkan kiraan berikut :
Yuran pengajian sebenar RM500.00 sebulan. Dibayar sendiri oleh pelajar RM50.00 sebulan. Bakinya RM450.00 lagi ditanggung oleh pihak sekolah melalui sumbangan para dermawan.
( Tawaran pengajian RM50.00 sahaja sebulan ini hanya kepada pelajar yang mendaftar sebelum 30 Oktober 2011 sahaja. Pendaftaran selepas tarikh diatas dermasiswa separuh sahaja dapat dipertimbangkan )
( Tawaran pengajian RM50.00 sahaja sebulan ini hanya kepada pelajar yang mendaftar sebelum 30 Oktober 2011 sahaja. Pendaftaran selepas tarikh diatas dermasiswa separuh sahaja dapat dipertimbangkan )
Masa belajar sehari 9 jam sehar X 5 hari seminggu = 45 jam seminggu X 4 minggu sebulan = 180 jam sebulan dibahagi dengan RM450.00 = RM2.50 sejam
Dermawan tidak rela sama sekali menghabiskan wang mereka sia-sia. Mereka hanya ingin melihat kemunculan anak-anak bangsa mereka hebat dan berkarisma yang terasuh dengan renjisan Al-Quran Karya Agung Tuhan mereka. Sekolah pula sebagai penyelia antara majikan ( penderma ) dan pekerja ( pelajar ). Tidak layaklah pihak penyelia dan pekerja tidak amanah terhadap majikan mereka.
Elokah Ma’hadul-Azhar yang dalam kurungannya “ Memahami Dan Menghafaz al-Quran & Pengajian Islam “ ini mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Begitu juga para pelajar yang diharap untuk menerajui kepimpinan ummah dimasa akan datang ini, sesuaikah mereka belajar sambil lewa dan tidak amanah.
Demi merealisasikan hasrat unggul bersama, pihak sekolah tidak bercadang menghabiskan masa yang berharga untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah disiplin pelajar.
Infaq ( Yuran )
Infaq Intimaiy ( Yuran Pendaftaran Masuk ) : RM300.00 ( sekali sahaja )
Infaq Itizamiy ( Yuran Pengajian ) : RM6,000.00 setahun (RM500.00 sebulan)
Pelajar yang mendaftar sebelum 30 November 2011 layak dipertimbangkan dermasiswa sebanyak RM5,400.00 setahun. (RM600.00 dijelaskan sendiri oleh pelajar ).
Pelajar yang mendaftar selepas 1 December 2011 layak dipertimbangkan dermasiswa sebanyak RM3000.00 sahaja. ( RM3000.00 dijelaskan sendiri oleh pelajar )
Bayaran penuh akan dikenakan semula sekiranya pelajar gagal menunjukan prestasi baik dalam pelajaran atau mempamerkan kebiadaban akhlak.
Pihak sekolah amat menghargai pelajar yang sudi menjelaskan yuran pengajian penuh
Pelajar yang menerima dermasiswa ini dikehendaki belajar tidak kurang dari setahun.
Dermasiswa Penuh
Pelajar-pelajar yang mempunyai kelayakan berikut dapat dipertimbangkan dermasiswa penuh oleh Ma’hadul-Azhar .
1. Lelaki dan perempuan berusia 10 tahun keatas
2. Berakhlak mulia dan berketerampilan
3. Tidak mempunyai sebarang penyakit
4. Mampu menghafaz 10 baris al-Quran dalam masa satu jam
5. Tidak mempunyai sumber pembiayaan mencukupi
6. Sanggup belajar 3 tahun
7. Masih ada kekosongan
8. Lulus temuduga
Kemudahan Asrama
Asrama disediakan kepada pelajar yang memerlukannya dengan bayaran RM10.00 sebulan. ( Pelajar dibenar menggunakan katil, tilam, cadar dan bantal sendiri. )
Makanan Di Asrama
Pelajar boleh memilih salah satu cara makan makanan di asrama, memasak sendiri secara berkumpulan dengan penyelian pihak sekolah atau disediakan oleh pihak sekolah sendiri.
Anggaran perbelanjaan secara masak sendiri : RM200.00 sebulan
Disediakan oleh pihak sekolah : RM300.00 sebulan
Bayaran makanan ini hendaklah dijelaskan sekurang-kurangnya dua bulan lebih awal.
Warith dibenarkan memasuki asrama dengan keizinan mudir sahaja.
Makanan Tambahan
Pelajar dibenarkan membawa makanan tambahan sendiri seperti kuih, barli, susu, milo dan lain-lain. Makanan ringan ( snek berperisa ), maggi dan yang seumpamanya dilarang sama sekali.
Pelajar boleh memberi makanan tambahannya ini kepada rakan-rakan setelah memohon dan mendapat kebenaran mudir.
Pelajar tidak dibenarkan langsung meminta makanan daripada rakan-rakan. Mengambil makanan dan apa-apa barang milik rakan tanpa pengetahuan dan kebenarannya adalah merupakan kesalahan berat. Kesalahan itu mesti dihukum. Pihak sekolah tidak akan menerima permohonan maaf semata-mata.
Penggunaan Telefon
Telefon peribadi pelajar hendaklah diserah kepada pihak sekolah untuk disimpan. Pelajar hanya dibenarkan membuat atau menerima panggilan telifon pada hari Khamis dari jam 2.00 hingga 6.00 petang sahaja. Walau bagaimana pun pihak sekolah sedia menerima pesanan yang perlu untuk disampaikan kepada pelajar.
Pihak sekolah mengharapkan agar tidak ada sebarang rayuan daripada mana-mana pihak untuk menghubungi pelajar atau untuk dihubungi selain dari masa yang ditetapkan.
Keluar Kawasan Sekolah
Keluar dari kawasan sekolah tanpa kebenaran adalah kesalahan serius. Warith pelajar sendiri akan bertanggung jawab menyelesaikannya. Sebelum penyelesaian dibuat pelajar tersebut tidak dibenarkan menghadiri kelas pengajian. Denda tidak hadir kelas pengajian akan terlaksana.
Istirehat
Istirehat Malam
Masa istirehat malam selewat-lewatnya jam 11.00 malam hingga 15 minit sebelum menjelang Waktu Subuh. Membuat giliran mengejutkan kawan sebelum menjelang waktu Subuh dan mencatat keadaan kesihatan rakan sebelum tidur
Larangan bermula jam 11.00 malam :
I . Tidak boleh mengeluarkan suara , sama ada suara sendiri atau suara lain
II . Tidak boleh membaca sebarang bacaan
III. Tidak boleh menyentuh rakan dengan anggota badan sendiri atau perantaraan
IV. Mesti berada di tempat tidur sendiri
V. Sama-sama membaca al-Quran ( surah As-Sajdah atau Al-Insan atau lain-lain)
Istirahat Petang
Masa istirahat petang mulai jam 1.30 hingga 6.00
Masa istirahat ini adalah peluang untuk pelajar
ü Bertukar-tukar fikiran dengan rakan-rakan
ü Melayari internet
ü Membaca akhbar dan majalah
ü Menonton tv
ü Mengulangkali pelajaran
ü Membasuh pakaian
ü Membuat pembersihan
ü Latihan Bernasyid
ü Latihan Bersyarah
ü Latihan berkhutbah
ü Dan lain-lain yang difikir sesuai
Pelajar tidak digalakkan tidur pada waktu istirehat ini.
Pakaian
Pakaian rasmi masa belajar bagi pelajar lelaki
Ø Baju jubah berkopiah putih dan berkain sarong / berseluar
Ø Baju Kemeja dan berseluar panjang ( warna bebas )
Ø Baju ala potongan baju Melayu dan berseluar ( warna bebas )
Ø Baju batik dan berseluar
Ø Baju kemeja berseluar dan bertali lehir ( warna bebas )
Ø Baju Melayu bersampin ( warna bebas )
Pakaian rasmi masa belajar bagi pelajar perempuan
Ø Baju kurung dengan kain dan berkain tudung labuh ( corak warna bebas )
Ø Baju kurung dengan seluar dan berkain tudung labuh ( corak warna bebas )
Pakaian yang tidak dibenarkan membawa masuk ke perkarangan sekolah :
Ø Seluar Jean
Ø T shit yang bergambar dan bertulisan ( apa-apa juga tulisan)
Ø Benda-benda tajam dan merbahaya
Ø Heater pemanas air
Ø Bahan bacaan lucah dan khayalan
Ø Bahan-bahan yang boleh dianggap menjatuhkan imej Ma’hadul-Azhar
Ø Alat-alat nyanyian ( tidak termasuk nasyid )
Jumlah pakaian yang dibenar untuk dibawa kesekolah dalam satu-satu masa :
1 pasang selipar
1 pasang kasut
2 helai t-shit
2 pasang jubah
2 helai baju kemeja
2 helai seluar panjang
3 helai kain sarung
2 helai tuala
1 helai selimut
Perlu disebut di sini bahawa meminjam pakaian rakan tanpa kebenaran Mudir – walau pun mendapat keizinan pemiliknya - adalah satu kesalahan berat.
Berjumpa Warith
Warith adalah digalakan bertemu dengan anak / jagaan masing-masing hanya pada hari Sabtu & Ahad sahaja. Selain dari kedua-dua hari tersebut biarlah semua pihak tidak terganggu.
Balik Bermalam
Kebenaran balik bermalam adalah pada setiap minggu kedua dan ke empat sahaja. Bermula dari jam 1.00 tengah hari hari Juma’at dan kembali semula kesekolah selewat-lewatnya jam 9.00 malam hari Ahad
Bayaran makanan bulanan pelajar balik bermalam bagi yang masak sendiri atau yang disediakan pihak sekolah tidak ada sebarang perubahan.
Penyesuaian Peraturan
Pihak Ma’hadul-Azhar berhak membuat penyesuaian peraturannya dari masa kesemasa.
Penutup
Ma’hadul-Azhar mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang turut mendukung program pengajian ke arah melahirkan anak-anak muda yang memahami dan menghayati ajaran Islam yang berpaksikan Kitab Allah Yang Maha Agung.
Kepada Allah kita mohon pertolongan dan kepadanya jualah kita berserah.
- Mudir Ma’hadul-Azhar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan