Isnin, 12 Mac 2012

ARTIKEL TULISAN PELAJAR LEPASAN MA'HADUL-AZHAR SEPERTI TERSIAR DALAM MAJALAH ANIS

SINARAN MA’HADUL-AZHAR
OLEH
 USTAZ ROHIDZIR RAIS
(SEPERTI TERSIAR DALAM MAJALAH ANIS BIL 168, OGOS 2011)

Kali pertama bertemu Ustaz Yusoff Uthman,56, adalah ketika saya berada di tingkatan enam rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Haji Abdul Kadir, Kepala Batas, Pulau Pinang. Beliau yang menjadi guru di situ mengambil peluang bertemu setiap kali kelas kami ketiadaan guru. Beliau tidak mengajar,sebaliknya hanya becakap dan berbual-bual.
Berbicara mengenai keadaan dunia dan tokoh-tokoh hebat tanah air seperti Dr. Burhanuddin Helmi dan Ustaz Zulkifli Mohamad. Sesekali dia mengeluarkan sapu tangan daripada sakunya dan menyapu air mata ketika menceritakan detik-detik tragis tokoh-tokoh ini. Tuturnya petah, susunan katanya mempesonakan, dan fakta-fakta yang diceritakan tidak ada di dalam silibus pelajaran kami.
Tidak cukup dengan itu, Ustaz Yusoff menawarkan kami untuk mengikuti kelas pantas membaca al-Quran berdasarkan sistem Iqra. Sudah tentu saya menjadi orang pertama yang bersetuju menyertainya dan diikuti rakan-rakan yang lain. Masakan tidak, selama lebih tiga tahun saya memohon doa agar Allah berikan peluang kepada saya untuk membaca al-Quran, kalam-Nya yang agung.
Selepas dua minggu kursus intensif membaca al-Quran ini selesai, saya kecewa kerana masih belum dapat membaca al-Quran dengan baik. Walaupun berjaya menamatkan enam jilid buku Iqra dalam masa 30 jam, namun bacaan saya belum lancar dan sempurna seperti yang diharapkan. Saya menitiskan air mata sendirian di dalam surau sekolah itu.
Menyedari kekecewaan saya, pada akhir program itu, Ustaz Yusoff mempelawa siapa sahaja yang berminat mempelajari al-Quran untuk mendalami ilmu ke sekolah beliau, Mahadul Azhar dipersilakan. Itulah titik pertemuan saya dengan sebuah institut pengajian Islam yang hebat dan membuka pintu untuk saya memahami ajaran Islam dengan lebih luas.
Teraju Bersama
Mahadul Azhar beroperasi di Bangunan 1744, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang dan beberapa bangunan lain. Bangunan utamanya ini adalah milik Ustaz Yusoff sendiri dan isterinya, Puan Fauziyyah Omar, 53 tahun. Ia terletak di atas tanah Lot 2071, Mukim 11, SPU yang milik asalnya adalah kepunyaan Tuan Haji Omar Abdullah, bapa mertua beliau. (Sekarang tanah dan bangunan ini serta beberapa bangunan lain yang berada atas tanah ini adalah milik Mahadul Azhar sepenuhnya).
Ini merupakan aspek menarik mengenai pasangan Ustaz Yusoff dan Puan Fauziyyah yang saya kenali kerana kedua-dua mereka menjadi peneraju bersama mengusahakan institut ini. Malah keluarga kedua-dua belah pihak juga memberikan sepenuh kerjasama dan bantuan kepada mereka berdua dalam membangunkan institut ini.
Ustaz Yusoff mempunyai kelulusan agama Islam dari pelbagai institusi terkenal di dalam dan di luar negara seperti Universiti al-Azhar, Mesir (Syari;ah Islamiyyah) , Universiti Ain Sham ,Mesir, (Pendidikan dan Latihan Perguruan)  Universiti Darul-Uloom, Deoband (Hadith )  Universiti Lucknow, India (Tafsir),  Darul-Uloom Linadwatil - Ulama, Lucknoaw, India (Pengajian Islam) Madrasah Arabiyyah Islamiyyah, Karachi (Al-Quran) dan Jamaliah Arabic College Madras, (Bahasa Arab) selain Madrasah ManabiUl Ulum ,Pondok Penanti,  Pulau Pinang ,  Madrasah Nahdhah Wathaniyyah (Pondok Tuan Guru Haji Ahmad), Kodiang, Kedah ,  Madrasah Haji Jusuh, Jalan Sanglang, Kodiang, Sekolah Kebangsaan Batu 6 Jalan Sanglang dan Sekolah Menengah Tengku Bendahara, Kodiang, Kedah.
Berdasarkan pengalamannya belajar di institusi-institusi hebat bersama guru-guru yang mursyid inilah, beliau bertekad mengasaskan Mahadul Azhar semata-mata bagi memberikan pendidikan bermutu kepada anak bangsa.
Gandingan Suami Isteri
Keserasian gandingan Ustaz Yusoff dan Puan Fauziyyah Omar, yang dikurniakan lima orang anak dan empat cucu ini dapat dilihat sejak awal penubuhan institut ini. Apabila Ustaz Yusoff menawarkan pengalaman dan ilmunya dalam bidang syariah, Puan Fauziyyah pula menawarkan bantuan kewangan dan khidmat nasihat pengurusan. Ketika Ustaz Yusoff mengajar al-Quran, hadith dan Bahasa Arab, Puan Fauziyyah pula mengajar Bahasa Inggeris.
Malah, sepanjang pengajian penulis di Mahadul Azhar ini, rumah penginapan Ustaz Yusoff dan Puan Fauziyyah terletak di dalam kawasan sekolah ini. Tidak hairanlah para pelajar sangat mesra dengan Puan Fauziyyah yang digelar Mak Jang. Ibu Ustaz Yusoff iaitu Hajjah Sofiyyah pula mesra dengan panggilan Tok. Keluarga berkat inilah yang bersama dengan pelajar-pelajar Mahadul Azhar dalam keadaan susah dan senang.
Kendong Kitab Besar
Keunikan institut ini adalah kerana pelajar-pelajarnya tidak dikelaskan berdasarkan umur, sebaliknya mengikut kemampuan belajar. Sungguh menakjubkan melihat anak-anak seusia 10 atau 12 tahun mengendong kitab-kitab Arab yang besar dan belajar di dalam kelas seperti orang dewasa.
Apakah sistem pendidkan yang digunakan sehingga Mahadul Azhar berjaya melahirkan pelajar-pelajar sehebat ini ? Begitulah takjubnya saya, lalu kekaguman ini saya terjemahkan dengan menyertai institut  hebat ini di bawah bimbingan Ustaz Yusoff Uthman.
Kini selepas 23 tahun penubuhan Mahadul Azhar, Ustaz Yusoff dan Puan Fauziyyah boleh berbangga dengan kejayaan institut ini. Ia bukan hanya sekolah tahfiz al-Quran pertama di Pulau Pinang, tetapi pelajar-pelajarnya juga berjaya diterima masuk di Universiti al-Azhar, Mesir dalam usia yang muda. Malah dua orang anak mereka yang baru berusia 14 tahun, sementara pelajar yang lain sekitar 15, 16 dan 17 tahun ketika memulakan pengajian di universiti tertua di dunia ini. Kira-kira 70 daripada 200 lepasan institut ini berjaya ke Universiti al-Azhar. Sementara pelajar-pelajar lain menyambung pelajaran di institusi pengajian tempatan atau memulakan kerjaya dalam pelbagai lapangan.
Penulis yang berpeluang belajar menggunakan sistem pantas Mahadul Azhar ini dapat merasai keberkesanan sistem ini apabila lulus dalam peperiksaan empat thanawi walaupun baru dua tahun belajar bahasa Arab. Seterusnya menyambung pelajaran ke Universiti al-Azhar dalam bidang syariah.
Walaupun belajar dalam bidang agama, lepasan Mahadul Azhar menceburi pelbagai bidang profesion seperti penulisan, penterjemah, pensyarah universiti, pengusaha pusat pengajian sendiri, mengndali syarikat pelancongan, menjadi chef di hotel terkemuka, terlibat dalam industry permotoran dan perniagaan. Mereka juga menjadi guru-guru Pendidikan Islam, Jawi dan bahasa Arab di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia di berbagai-bagai sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kepelbagaian kerjaya lepasan Mahadul Azhar ini tidak menghairankan kerana sepanjang pengamatan penulis sendiri, Ustaz Yusoff sentiasa menggalakkan pelajar-pelajarnya untuk mahir dalam pelbagai bidang. Nasihat beliau, apa sahaja bidang yang diceburi oleh anak-anak Mahadul Azhar, mereka mestilah patuh dengan Syariat Allah.
Pengajian Memahami al-Quran
Selepas menempa kejayaan demi kejayaan, Mahadul Azhar yang diasakan pada Mac 1988 bersamaan 1408 H, kini merintis program pengajian kea rah memahami al-Quran berdasarkan topic begi sesi pengajian Mei 2011 - 2014.
Silibus yang digunakan dalam pengajian memahami al-Quran ini merangkumi tiga asas utama yang berjalan serentak:
Asas 1: Saringan Ayat Berdasarkan Topik
Asas 2: Menghafaz dan Memahami Surah-surah Pilihan
Asas 3: Menghafaz dan Memahami Setiap Ayat di dalam Al-Quran
Dalam subjek memahami al-Quran berdasarkan ayat yang disaringkan berdasarkan topik, setiap pelajar wajib mengikuti 10 langkah berikut:
# Menentukan topik atau surah yang hendak dipelajari.
# Membetul dan memperelok bacaan ayat yang dipelajari.
# Memahami dan menghafaz makna perkataan bagi ayat yang dipelajari berpandukan buku Syamail al-Quran.
# Memahami kehendak dan maksud ayat berpandukan Tafsir Abrur-Athir, Tafsir Azhar dan lain-lain.
# Menghafaz ayat al-Quran berdasarkan topic yang dipelajari.
# Memperdengarkan hafalan ayat kepada guru pembimbing secara berterusan mengikut sistem hafalan.
# Memperdengarkan terjemahan makna ayat kepada guru pembimbing secara berterusan mengikut sistem hafalan.
# Menerangkan tafsiran ayat yang dikaji di hadapan khalayak, sama ada rakan-rakan sekelas atau jemputan khas.
# Menduduki ujian bertulis bagi setiap topik yang dipelajari.
# Menganugerahkan Sijil Khas kepada pelajar yang berjaya.
Bagi asas kedua dan ketiga, pelajar diwajibkan menghafaz dan memahami surah-surah terpilih dan memahami makna setiap perkataan dari awal al-Quran hingga habis. Mereka tidak diwajibkan menghafaz 30 juzuk al-Quran tetapi siapa yang berkemampuan ke arah itu, pihak sekolah akan membimbing mereka.
Program pengajian ini dibuka kepada pelajar berumur sepuluh tahun ke atas, remaja dan orang dewasa. Sementara jadual pengajiannya pula disusun secara fleksibel bagi keselesaan pelajar. Mereka boleh memilih pengajian sepenuh masa atau separuh masa.
Menurut beliau, pada awalnya institut ini membuka peluang kepada golongan kanak-kanak dan remaja. Namun permintaan dan minat golongan dewasa bagi mengikuti program ini menyebabkan pihak institut akur dengan kehendak mereka. Menarik mengenai program ini, yuran pengajian atau disebut sebagai sumbangan komitmen (infaq ltizamiy) yang dikenakan kepada pelajar amat tidak membebankan. ( Semasa saya belajar dulu yuran pengajian dikenakan hanya RM50.00 sahaja sebulan )
Sedangkan kos yang diperlukan bagi menampung pengajian pelajar-pelajar ini tentulah lebih besar. Mengikut Ustaz Yusoff, bagi membiayai 40 orang pelajar sahaja, kira-kira RM36,000.00 sebulan diperlukan. Kerana itu baki yuran pengajian setiap pelajar sebenarnya ditanggung oleh Mahadul Azhar melalui sumbangan dermawan. Justeru itu, Mahadul Azhar sejak penubuhannya mengamalkan sistem paduan kasih di antara ibu bapa yang gigih, pelajar yang cekal dan penyumbang budiman, serta keikhlasan guru yang mursyid. Hanya melalui sistem ini, semua orang berpeluang untuk memahami al-Quran dan menyumbang di jalan Allah.
Sebagai anak didik yang pernah merasai asuhan dibawah sistem pengajian al-Quran di Mahadul Azhar, saya menyeru ibu bapa untuk merebut peluang menjadikan permata hati anda sekalian sebagai insan yang memahami kalam Tuhan. Hanya generasi al-Quran dapat menangani kemelut yang melanda ummah hari ini. Bagi para dermawan yang tidak berpeluang mengikuti pengajian ini boleh turut serta menyumbang dengan apa-apa juga sumbangan termampu dalam usaha impian untuk melihat kemunculan anak bangsa yang mahir  memahami al-Quran demi kebahagiaan bersama kita  di dunia dan akhirat.
Mahadul Azhar, Institut Memahami dan Menghafaz al-Quran & Pengajian Islam masih membuka pendaftarannya bagi pengambilan sesi 2011-2014 . Maklumat lanjut boleh hubungi Ustaz Yusoff Uthman di talian 013-8101040/ Faks 04-3515062 atau layari laman sesawang: http://azhar-ummah.blogspot.com atau emel kepada mahadulazhar@yahoo.com
Ustaz Yusoff dan Puan Fauziyyah  amat menghargai dan menyanjung tinggi individu perseorangan atau perkumpulan, pertubuhan, kerajaan, warith pelajar, pelajar dan semua pihak  yang terlibat dalam membantu dan menyokong konsep pendidikan Mahadul-Azhar samada disegi keewangan atau pemikiran.
Ustaz Yusoff memberitahu, dengan  sokongan pada dermawan sepanjang masa dan ahli fikir disebalik tabir yang tidak mahu didendangkan inilah maka Mahadul-Azhar telah berjaya menghadiahkan kepada negara dan ummah anak-anak yang pernah menerima sentuhannya  yang gagah beraksi dimana sahaja mereka berada terutama sekali dalam bidang ilmiyyah dan pendidikan. Kelihatan tulisan dan terjemahan buku mereka memenuhi kedai-kedai buku, wajah-wajah ceria mereka  sering terpampang di kaca tv berbagai saluran  membincang topik-topik hebat, membimbing mahasiswa di universiti, mencurah ilmu di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta, mengisi program keagamaan dimasjid, surau dan lain-lain.
Ustaz Yusoff amat berharap kepada para dermawan perihatin yang memasukan sumbangan mereka terus melalui bank agar sudilah kiranya menghubungi pihak sekolah melalui telifon atau sms demi sebuah persahabatan yang berpanjangan dan kenal mengenali.
Akaun Mahadul-Azhar Bank Muamalat: Mahadul Azhar 0701-0001554-71-1 manakala akaun semasanya di Bank Islam ialah : Mahadul Azhar  07016010024844
Mahadul-Azhar mengimpikan bangunan tambahan yang selesa untuk dijadikan surau, bilik kulliyyah pengajian dan penginapan anak-anak selain bayaran bil eletrik, air dan pembaikan-pembaikan kecilan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan